KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 daripada 1 September ini kepada 1 Januari 2023.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, penangguhan itu selepas mengambil kira maklum balas daripada pihak industri.

"Sebulat suara saya telah terima permintaan pihak industri bahawa mereka perlukan sedikit masa lagi, di mana kita dalam keadaan pemulihan ekonomi yang begitu penting.

"Mereka telah merayu kepada kementerian (KSM) supaya kita menangguhkan penguatkuasaan dan perkara ini saya telah bawa ke Jemaah Menteri pada pagi ini," jelasnya.

Tambah Saravanan, mesyuarat bersama Jemaah Menteri bersetuju penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pihak industri membuat persediaan rapi.

"Kita (KSM) telah berbincang dengan anggota jemaah menteri termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Kewangan dan semua anggota kabinet berpendapat kita perlu menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 ke satu hari akan diumum kelak.

"Setelah saya berbincang dengan pegawai kanan peringkat kementerian kita telah memutuskan tarikh penguatkuasaan tunda daripada 1 September ke 1 Januari 2023," katanya.

Mengulas lanjut jelas Saravanan, kebanyakan pihak industri ketika ini masih berdepan dengan masalah kekurangan pekerja asing untuk menambahkan produktiviti mereka.

Justeru, sekiranya pelaksanaan pada 1 September itu tidak ditangguhkan, dikhuatiri lebih ramai pihak industri berdepan kesukaran.

Justeru tempoh yang diberikan jelas Saravanan memadai bagi memberi ruang kepada mereka membuat persediaan rapi, pada masa sama KSM juga ujarnya akan menyelesaikan isu kekurangan pekerja asing di negara ini.

"Ini sedikit sebanyak beri ruang kepada majikan supaya pulih semula lebih awal. Pertama mereka masih menghadapi kekurangan pekerja asing untuk menambahkan produktiviti dan dalam keadaan apabila kita mengurangkan waktu operasi mungkin menjejaskan pendapatan mereka.

"Walaupun 1 Januari adalah tarikh diputuskan di peringkat kementerian, sekiranya kita sempat menyelesaikan semua isu pekerja asing, mungkin boleh diawalkan.

"Tapi pada masa kini 1 September itu ditangguh untuk pelaksanaan, isu mengenai negara sumber telah kita selesaikan, dengan Perjanjian Persefahaman (MoU) dan sebagainya, mereka mula masuk, cuma memandangkan kita telah hampir 3 tahun tidak membenarkan pekerja asing masuk jadi proses itu mengambil masa," katanya lagi.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September 2022.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.