KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan dan pembangkang di negeri Sarawak bersetuju sekiranya pelaksanaan darurat secara bersasar dilaksanakan di negeri itu bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) sekurang-kurangnya enam bulan selepas tamat tempoh darurat pada 1 Ogos ini.

Demikian kata Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni yang juga menyifatkan penangguhan itu sebagai langkah tepat dalam memastikan rakyat negeri itu selamat daripada penularan COVID-19.

‘’Kita telah melihat dalam PRN Sabah mengakibatkan pandemik COVID-19 semakin serius dan juga di negeri Sarawak apabila seseorang dari Johor balik ke Sarawak dan mencetuskan Kluster Pasai dan ini adalah berpunca dari kluster-kluster yang wujud selepas PRN Sabah.

‘’Maka saya berpandangan sekiranya nyawa diutamakan ketika ini dan juga untuk mengadakan PRN adalah sangat taktikal dan tidak selamat walaupun pencapaian vaksinasi sangat baik, tetapi kita tidak ingin sewenang-wenangnya membuka negeri kita untuk mengadakan pilihan raya.

‘’Sekiranya darurat secara lokaliti atau secara terpilih ini perlu dilaksanakan, saya bersetuju sekiranya darurat ini dilakukan untuk menyelamatkan negeri Sarawak dan saya rasa kita belum bersedia lagi untuk mengadakan pilihanraya dalam tempoh 60 hari ini,” katanya.

Lukanisman berkata demikian sebagai menjawab cadangan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen semasa sesi Mesyuarat Khas Parlimen (Dewan Rakyat) pada Isnin.

Bagaimanapun ujarnya, sekiranya pilihanraya tetap perlu dijalankan selepas tamat tempoh darurat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian.

‘’Walaupun Sarawak mempunyai angka vaksinasi yang baik dan kita boleh beralih ke fasa ketiga PPN, tetapi saya agak bimbang sekiranya PRN dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas 1 Ogos nanti, kita akan berdepan lagi dengan masalah jangkitan lebih-lebih varian Delta.

‘’Sekiranya pilihanraya dijalankan saya mohon pihak SPR mempunyai SOP yang sangat teliti berkenaan tentang mengadakan pilihanraya ini,’’ tambahnya.