TAPAH: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menempelak majikan yang masih meragui usaha kerajaan untuk melaksanakan skim gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei ini dengan alasan kononnya ekonomi masih lembab.

Menurutnya, kenaikan kadar gaji minimum itu sebaliknya mampu merancakkan lagi ekonomi apabila rakyat mempunyai lebih wang untuk dibelanjakan.

Beliau berkata, sebenarnya banyak sektor ekonomi telah berkembang dengan baik dan bersedia melaksanakan skim gaji minima itu.

"Kalau ekonomi tidak bagus, kenapa ada permintaan untuk 519,000 pekerja asing? Walaupun masih dalam proses tapisan dan tak semua akan lulus, ini keadaan semasa.

"Ekonomi lembab, kena tambah pendapatan rakyat, jadi boleh belanja duit di peringkat akar umbi dan baiki ekonomi lebih awal," katanya.

Beliau ditemui semasa majlis serahan zakat wakalah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTTK) di Dewan Merdeka Tapah pada Jumaat.

Beliau yakin sekarang adalah masa dan waktu yang sesuai untuk melaksanakan skim gaji minimum itu.

Menurutnya, jika tidak, usaha kerajaan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan tidak akan mendapat sambutan daripada rakyat tempatan.

Tambahan pula, pekerjaan di sektor ekonomi gig seperti penghantar makanan menawarkan pendapatan yang lebih lumayan dengan masa kerja lebih fleksibel.