KUALA LUMPUR : Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia masih dalam peringkat kajian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, beliau tahu ramai terkejut apabila beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan kerajaan tidak menolak kemungkinan GST dikembalikan.

Begitupun, tegas beliau, kerajaan perlu mengkaji baik dan buruk pelaksanaan semula GST terlebih dahulu, bukannya kerajaan umum akan melaksanakan semula GST.

"Saya kata akan buat kajian sebab salah satunya kerajaan kekurangan pendapatan kerana salah satunya apabila kita ubah GST ke SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan).

"Kita kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana pindah daripada GST ke SST.

"Jadi banyak pertimbangan lagi yang akan kita tengok. Adakah kesan daripada GST itu akan mengakibatkan harga naik, adakah waktunya sesuai ataupun berapa tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, di sini pada Ahad.

Tambah beliau, rakyat perlu difahamkan terlebih dahulu sekiranya kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan sistem percukaian baharu.

"Kalau kita rasa SST sudah tidak sesuai apa yang kita nak gantikan dan rakyat perlu difahamkan dahulu. Kita nak apa yang diumumkan diterima rakyat bukan ditolak rakyat.

"Jangan bimbang, sampai masanya kita akan dedahkan dan umumkan. Tapi masa ini masih dalam peringkat kajian," ujarnya.