KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan sentiasa berusaha memastikan pelan mitigasi untuk projek-projek 'sakit' dengan kategori pelbagai, berada dalam senarai keutamaan.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook pada Khamis, Pengerusi PR1MA yang baharu Datuk Fathul Bari Mat Jahya berkata perkara itu merupakan antara amanat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta beliau meneliti isu-isu dan permasalahan melibatkan projek perumahan PR1MA.

"Selepas menerima watikah pelantikan daripada Datuk Seri Ismail Sabri saya sempat 'ngeteh' (minum) dan berbual bersama beliau. Kurniaan mandat tersebut disusuli dengan amanat yang sangat menarik perhatian saya antaranya pertama, perbanyakkan rumah mampu milik untuk rakyat sesuai dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang menyasarkan 500,000 rumah untuk membantu rakyat B40 dan M40.

"Kedua, beliau juga meminta saya meneliti isu-isu dan permasalahan di PR1MA khususnya perihal aduan daripada pembeli berkaitan kerosakan, kelewatan dan lain-lain serta jadikan ia 'first priority'. Kerana pada beliau, segala-galanya bermula di 'rumah'. Rumah membentuk keluarga dan daripada keluarga yang bahagia terbentuknya sebuah negara yang sejahtera," katanya.

Fathul Bari dilantik sebagai Pengerusi baharu PR1MA menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini Menteri Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa 12 Nov lepas.

Menurut Fathul Bari, beliau telah mengatur jadual lawatan ke semua tapak projek perumahan PR1MA yang dikategorikan 'sakit' dan bermasalah berdasarkan aduan yang diterima sepanjang Disember ini, bagaimanapun rancangan tersebut terpaksa dilewatkan berikutan beliau disahkan positif COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin.

Beliau berkata PR1MA juga berhasrat untuk berpartisipasi dalam melaksanakan sasaran kerajaan untuk membina 500,000 rumah bagi golongan B40 dan M40 dengan menyasarkan 100,000 rumah hingga 2025 demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Fathul Bari berkata sejak penubuhannya, PR1MA telah menyiapkan hampir 25,000 rumah di seluruh negara, namun beberapa tahun kebelakangan ini terdapat isu dan permasalahan yang membentuk persepsi negatif terhadap perbadanan itu disebabkan isu kelewatan, kerosakan, projek terbengkalai, kontraktor bermasalah, krisis politik dan lain-lain.

Beliau berkata sebanyak 41,613 aduan terkumpul telah diterima bermula Januari hingga 30 Nov dan 41,561 aduan telah diambil tindakan manakala baki 52 aduan masih dalam proses penyelesaian.

Selain itu, Fathul Bari berkata Program Homebuyers Review Committee (HRC) PR1MA juga telah mengadakan 12 pertemuan dengan wakil pembeli bagi sembilan projek kediaman berbeza dari Januari hingga November 2021.

"Kami sentiasa terbuka untuk sebarang pandangan, teguran dan kritikan demi pemerkasaan institusi dan jauh lebih besar daripada itu, demi kesejahteraan rakyat khususnya penduduk perumahan PR1MA. Manfaatkanlah platform-platform yang telah kami sediakan. Insya-Allah aduan kalian, keutamaan kami.

"Saya tak ingin menjanjikan bulan dan bintang, cuma saya akan pastikan hasrat Perdana Menteri dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar rakyat dapat menikmati rumah mampu milik yang berkualiti dan berdaya huni benar-benar berhasil. Saya akan usahakan sehabis baik, insya-Allah," katanya.

--BERNAMA