KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 perlu dirangka selepas pelan pemulihan sebelum ini mencapai kejayaan memberangsang setelah semua negeri kini berada di Fasa 4 PPN.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan satu pasukan akan dibentuk untuk menyediakan deraf pelan pemulihan negara yang baharu itu.

Muhyiddin juga menjelaskan PPN 2.0 perlu dirangka secara menyeluruh dan inklusif dengan membabitkan semua pemegang taruh termasuk pihak swasta.

"Contohnya sektor ekonomi agak penting supaya unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini meningkat lebih baik.

"Sektor mana yang boleh cepat dipulihkan dan sektor yang ambil masa lama, apa langkah boleh dilakukan kerajaan bersama pihak swasta supaya sektor terbabit dipulihkan segera.

"Jika dibiarkan pulih secara semula jadi akan mengambil masa bertahun-tahun," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN, pada Isnin.

Muhyiddin berkata, penularan pandemik COVID-19 menjejaskan sektor pelancongan yang sebelum ini menyumbang RM80 bilion terhadap hasil negara.

Ujarnya, pasukan kerja PPN 2.0 akan mengemukakan cadangan dan memperhalusi langkah menangani kes COVID-19 jika ia dikesan meningkat kerana kerajaan tidak akan kembali melaksanakan sekatan pergerakan penuh.

Mengulas mengenai laporan Nikkei Asia yang meletakkan kedudukan Malaysia di tangga ke-13 dalam pengurusan COVID-19, Muhyiddin berkata ia wajar dibanggakan.

Beliau berkata, Malaysia melaksanakan program imunisasi antara yang terbaik di dunia membolehkan sektor sosial dibuka semula.

Dalam mesyuarat sama, majlis itu menyarankan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat perancangan awal bagi persiapan sebelum banjir dan langkah pemulihan pasca bencana itu yang berlaku setiap tahun.

Katanya, penyelesaian jangka panjang dengan mengambil kira perubahan iklim yang semakin tidak menentu menuntut NADMA, Jabatan Meteorologi serta Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk lebih proaktif termasuk melihat penggunaan teknologi jangkaan baharu.