KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji secara mendalam sebarang pelan bagi mewujudkan peluang pekerjaan buat etnik Rohingya di negara ini atas faktor keselamatan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kajian secara terperinci itu penting bagi mengelakkan lebih ramai pelarian Rohingya datang ke Malaysia jika pelan itu dilaksanakan.

"Saya telah berbincang dengan beliau (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin) berkaitan faktor keselamatan yang menyaksikan KDN risau sekiranya kita benarkan begitu sahaja tanpa rancangan teratur, mungkin lebih ramai pelarian datang ke Malaysia.

"Jadi kita masih perlu mengkaji secara mendalam daripada segi pelaksanaan. Setakat ini, belum ada keputusan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Iftar Perkeso 2022 di sini malam ini.

Cerita Sebalik Berita: 528 pelarian Rohingya loloskan diri dari tahanan

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden 528 tahanan etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada kira-kira 4.30 pagi tadi.

Setakat 8 malam, seramai 351 pelarian berjaya ditahan semula dan polis melancarkan gerakan mencari mereka yang masih lolos.

Insiden itu turut menyaksikan enam pelarian maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang.

-- BERNAMA