IPOH: Aktiviti pelancongan di Pulau Pangkor akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sekiranya perjalanan rentas negeri dibenarkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata justeru, tiada gelembung pelancongan di pulau peranginan itu jika pengumuman kebenaran merentas negeri mendahului keputusan melaksanakan gelembung pelancongan.

"Sekiranya pengumuman untuk merentas negeri dibenarkan, SOP untuk pelancong masuk ke Pulau Pangkor memang telah dipraktikkan mengikut pematuhan SOP pelancongan sedia ada jadi insya-Allah tiada masalah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara SOP sedia ada ialah pelancong yang lengkap divaksinasi dibenarkan melakukan aktiviti pelancongan dengan mengemukakan kad atau sijil digital vaksinasi COVID-19 ketika mendaftar masuk ke hotel atau inap desa dan pengusaha tempat peranginan perlu membuat pemeriksaan.

BACA: Pulau peranginan utama dijangka dibuka semula awal September - Nancy

BACA: Gelembung pelancongan: Perak tidak tergesa-gesa buka Pulau Pangkor

Sabtu lepas, Nolee Ashilin berkata penyediaan SOP untuk meluluskan gelembung pelancongan ke Pulau Pangkor kini berada pada fasa akhir dan senarai persiapan yang dijangka siap minggu ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk membuka semula pulau peranginan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata SOP itu akan diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk diteliti sama ada Pulau Pangkor layak untuk syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi gelembung pelancongan.

Antara yang tersenarai dalam penyediaan SOP itu ialah dari segi pintu masuk, pemeriksaan kesihatan dan kadar vaksinasi penduduk 80 peratus yang telah dicapai selain operator yang pekerjanya perlu lengkap vaksinasi.

BACA: Pulau Pangkor dijangka buka 1 November - Exco

BACA: Gelembung pelancongan: Pulau Pangkor belum bersedia

-- BERNAMA