IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Abdul Aziz Bari mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mencari helah untuk lari daripada tanggungjawab berhubung pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas Aziz, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah menafikan bahawa beliau yang melantik Azam.

Dakwanya, Muhyiddin menyebut Yang di-Pertuan Agong, Ketua Setiausaha Negara dan prosedur pelantikan untuk mengukuhkan dalihnya.

“Agak jelas bahawa beliau tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu apa yang tersirat di sebalik konsep bertindak mengikut nasihat yang terkandung di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan kita.

“Peruntukan tersebut mewajibkan Perdana Menteri dan semua anggota kabinet memikul tanggungjawab kerana mandat daripada rakyat untuk memerintah berada di tangan mereka, bukan di tangan Yang Di-Pertuan Agong atau Perkhidmatan Awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini Muhyiddin dan konco-konconya beria-ia mengatakan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat kerajaan, hatta dalam beberapa isu yang ada keraguan di dalamnya.

“Tetapi sekarang dalam perkara yang jelas dan tiada keraguan di dalamnya, Muhyiddin cuba mencari helah untuk lari dari tanggung jawab,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berharap semoga rakyat tidak lupa dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti ini.

Pada Isnin, Muhyiddin menafikan beliau memilih Azam untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini.

BACA: Bukan saya lantik Azam Baki - Muhyiddin

Sebaliknya, Muhyiddin menjelaskan, Ketua Setiausaha Negara yang mencadangkan pelantikan Azam dan ia dibuat selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.