JOHOR BAHRU: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai Menteri Besar Johor ke-19, disifatkan sebagai pelanggaran terhadap amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, ia berikutan rakyat memberi mandat besar memilih Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Hasni Mohammad.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah pilihan raya umum untuk membentuk sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.

"Rakyat Johor telah memberi mandat yang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan rakyat yang akan dipimpin oleh seorang Menteri Besar Johor yang telah dinamakan secara tersurat dan tersirat sepanjang kempen PRN.

"Tetapi selepas parti politik yang diketuai di peringkat negeri oleh calon Menteri Besar itu menang besar, namun pihak Sultan tidak memilih calon pilihan majoriti rakyat itu sebagai Menteri Besar Johor, sebaliknya memilih calon lain yang bukan pilihan rakyat Johor.

"Ini jelas bermakna calon Menteri Besar pilihan rakyat ditolak oleh pihak istana," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini

BACA: Onn Hafiz mula tugas sebagai Menteri Besar

Jelas Hassan, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku dalam demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara di negara ini.

Pada Selasa, Datuk Onn Hafiz Ghazi sah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau yang juga bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru.