IPOH: Seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop, Sungai Siput, ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada tubuh, dipercayai akibat dipukul.

Susulan itu, polis menahan tiga kakitangan Puspen serta seorang pelatih, kesemuanya berumur antara 30 dan 38 tahun, bagi membantu siasatan. 

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian membabitkan lelaki berusia 50 tahun itu pada jam 12.55 tengah hari Selasa (31 Jan).

“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput (Utara) dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan pada bahagian belakang badan mangsa akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih kepada umum atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.