KUALA LUMPUR: Isu membabitkan bekas atlet renang paralimpik negara, Koh Lee Peng yang tular di media sosial baru-baru ini kerana menjual barangan secara kecil-kecilan seperti tisu dan pelitup muka di sekitar Bukit Bintang adalah lebih menjurus kepada pilihan peribadi atlet itu sendiri.

Menjelaskan lanjut perkara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin, tidak timbul sebenarnya sebarang isu pengabaian memandangkan atlet itu sudahpun menikmati apa yang sepatutnya menjadi hak ketika bergelar atlet paralimpik negara.

“Ini sebenarnya pilihan dia. Untuk makluman, (dalam rekod) Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), atlet Koh Lee Peng bernombor ahli YAKEB ke-1,000 Sukan Renang Paralimpik. Dia dalam program kita dari tahun 2001 hingga 2005.

“Dalam program itu, dia sudah dapat apa yang dia perlu seperti elaun, asrama dan sebagainya. Dia menang tujuh pingat emas dari Sukan Paralimpik Asia dan bukannya Olimpik. Ada imbuhan yang telahpun diberi.

"Daripada 2019 juga, YAKEB telahpun memberi sumbangan kepadanya sebanyak sembilan sumbangan," jelasnya kepada Astro AWANI.

Sumbangan tersebut, menurut Megat D. Shahriman, merangkumi RM500 pada 13 Oktober 2019. Selain itu,  Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 daripada sumbangan amal golf pada 2019.

Lee Peng juga menerima bantuan COVID-19 pada 2020, bantuan pembaikan motosikal (RM500) dan beberapa program lain untuk membantunya bagi meningkatkan tahap kehidupan.

Justeru pihak MPM berharap orang ramai tidak terlalu emosi serta tidak ada pihak yang cuba bermain sentimen dalam isu itu sedangkan kerajaan bersama-sama entiti sukan negara yang lain sentiasa cuba sedaya upaya memastikan semua atlet negara terbela dan dibantu.

“Saya sebagai Presiden MPM sangat menghormati pilihan yang dibuat dan usaha kehidupan yang dia lakukan. Saya sentiasa menyokongnya sekalipun menjual tisu atau apa-apa sahaja," jelasnya.

Malah katanya lagi, setiap atlet juga harus mempunyai perancangan kewangan yang baik ketika memiliki atau diberikan segala imbuhan untuk memastikan kelangsungan hidup yang lebih selesa.

Urusan itu katanya, sudah tentunya ditentukan menerusi kebijaksanaan atlet itu sendiri memandangkan pihak kerajaan atau badan induk sukan sudahpun memberikan apa yang menjadi hak mereka.

Beberapa hari lalu tular isu membabitkan atlet paralimpik negara Koh Lee Peng yang pernah memenangi tujuh pingat emas tetapi ditemui menjual tisu di sekitar Bukit Bintang di ibu negara.

Ia menimbulkan pelbagai komen dan tomahan terhadap badan sukan terutamanya membabitkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang kononnya tidak membela nasib atlet terbabit.