KUALA LUMPUR: Kedudukan Parlimen sebagai platform untuk memartabatkan demokrasi dalam negara perlu dipelihara dengan memaparkan kebenaran di sebalik setiap satu isu yang ditimbulkan.

Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, sekalipun ada isu yang terlalu sensitif untuk dibincang atau dibahaskan secara terbuka, masih terdapat mekanisme lain yang membolehkan platform Parlimen dimanfaatkan bagi membawa kebenaran dan menjawab semua persoalan.

"Apa yang kita nampak sekarang, kita berdebat di luar Parlimen. Pelbagai pihak ada fakta sendiri, saling menyalahkan sehingga kita sebagai rakyat pun keliru, tidak tahu siapa betul dan salah.

"Susah untuk bina negara ini kalau kita tidak ada platform untuk kenal pasti kebenaran. Aspek penting dalam negara bangsa ialah kebenaran dan keadilan.

"Kerana itu kita kena kembali ke Parlimen, bukan berdebat di media sosial di mana semua orang boleh cakap apa saja tetapi tiada siapa boleh sahkan kebenarannya," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam Agenda AWANI malam tadi.

BACA: Tuntutan Sultan Sulu: Dewan Rakyat kecoh lebih setengah jam, Kota Belud diarah keluar 

BACA: Isu tuntutan Sulu: Ini sebab kenapa Speaker Dewan Rakyat tidak benarkan perbahasan 

Tegas Tharma lagi, kualiti perdebatan perlu ditambah baik supaya orang ramai tidak berterusan sinikal dan berpendapat bahawa sesi Parlimen tidak lebih sekadar shouting match antara wakil rakyat semata-mata.

"Dalam konteks ini, dua perkara penting yang kita kena fikir, pertama ialah bagaimana nak tingkatkan kualiti perbincangan yang ada.

"Di luar negara ada pendanaan kepada semua wakil rakyat untuk mereka mendapatkan pembantu dari aspek penyelidikan, untuk membantu melihat usul-usul yang diketengahkan.

"Sebagai contoh, tahun lepas Akta 342 untuk lihat semula Akta Pencegahan Penyakit, majoriti wakil rakyat tidak baca pun, hanya apabila ia tular dan orang bercakap, ada isu dengan kes-kes tertentu, tiba-tiba mereka menggelabah.

"Kedua, bagaimana nak sampaikan pada masyarakat sebab mereka tidak tahu apa yang dibincangkan, apa dokumen yang ada. Di luar negara ada 'hansard' untuk membolehkan ia dibaca.

"Di Malaysia juga ada, tetapi boleh dipermudahkan untuk bacaan," jelasnya.

Agenda AWANI: Parlimen I Apa Jadi Sekiranya Usul Ditolak?

Konteks Parlimen, kata Tharma, tidak seharusnya lari daripada fokus terhadap rakyat.

"Isunya, kita sebagai rakyat pun tidak meminta wakil rakyat untuk menjadi policy maker yang bagus, cukup setakat datang masa majlis-majlis di kampung.

"Ini juga yang kami di Undi18 hendak bawa, iaitu pendidikan untuk anak muda celik.

"Yang wakil rakyat patut buat lebih lagi di sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, ialah bawa polisi jangka panjang," katanya lagi.