MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius perlakuan tidak senonoh dan tidak bermoral melibatkan  pelanggan dan pekerja di sebuah kedai makan di Setiu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar turut meluahkan rasa kesal dengan perbuatan tersebut sekali gus mencemarkan imej negeri itu.

Ahmad Samsuri berharap ia tidak terus berulang dan orang ramai termasuk pelancong yang bertandang ke negeri itu menjaga tatasusila yang selari dengan ajaran agama Islam.

"Itu yang menjadi masalahnya, kerana setitik nila rosak susu satu belanga. Jadi ini kita tidak mahu berlaku dalam masyarakat kita. 

"Saya amat berharap supaya sekiranya kedai tertentu ini ada masalah untuk menarik orang, jangan gunakan cara sedemikian.

"Perlulah teroka cara menggunakan media sosial, cara yang bermoral dan berakhlak untuk menarik orang, bukannya dengan cara tidak bermoral seperti itu," kata Ahmad Samsuri.

Justeru beliau berharap masyarakat setempat juga memainkan peranan mereka dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan tidak bermoral.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memaparkan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk seorang pekerja wanita di sebuah kedai makan.

BACA: Viral wanita air buah: JHEAT lengkapkan siasatan

BACA: Perbuatan jelik: JHEAT mohon orang ramai salur maklumat

Perbuatan dan tindakan itu mengundang pelbagai kecaman dan kritikan pengguna media sosial.