KEMAMAN: Seorang lelaki yang dihanyutkan arus ketika memancing bersama tiga individu lain termasuk anak saudaranya di Sungai Cerul, Bandar Baru Cheneh, di sini semalam, ditemukan lemas di dasar sungai kira-kira 10.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Mohamad Hanif Che Khalid berkata mayat Muhamad Zulkefli Ismail, 34, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jarak 50 meter dari tempat terakhir mangsa dilihat sebelum dia dilaporkan hanyut.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan masih lengkap berpakaian. Mayat Muhamad Zulkefli telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu Mohamad Hanif berkata Muhamad Zulkefli dipercayai telah dibawa arus ketika turun ke dalam air untuk mengambil ikan yang tersangkut pada mata kail.

"Anak saudara (lelaki) mangsa berusia 14 tahun yang melihat kejadian tersebut cuba menyelamatkan Muhamad Zulkefli namun gagal," katanya.

Menurut beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 7 malam semalam sebelum anggota bomba dari BBP Cheneh digerakkan ke lokasi dengan dibantu PPDA dari BBP Chukai.

"Bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari ini kita melakukan pencarian di permukaan air menggunakan bot pada radius sejauh kira-kira 700 meter dari tempat terakhir mangsa dilihat oleh saksi kejadian," katanya.