Pemandu bas positif COVID-19, operasi bas henti-henti dan bas mini dihentikan

Radhi Muslim
Oktober 6, 2020 06:44 MYT
Pada pagi Isnin, seramai 150 pemandu bas menjalani saringan calitan COVID-19. - Astro AWANI
SANDAKAN: Operasi bas mini dan bas henti-henti di daerah Sandakan dihentikan sementara bermula Selasa.
Pengerusi Lembaga Perlesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, berkata langkah itu terpaksa diambil susulan pengesanan beberapa pemandu bas didapati positif COVID-19.
Beliau berkata, terdapat beberapa lagi pemandu bas disyaki positif selepas satu saringan diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan, pada pagi Isnin.
"Pada pagi Isnin, seramai 150 pemandu bas menjalani saringan calitan COVID-19.
"Hasilnya, beberapa pemandu bas didapati positif dan ada juga yang disyaki positif COVID-19.
"Justeru, atas saranan pihak Jabatan Kesihatan Kawasan Sandakan, operasi bas terpaksa dihentikan buat sementara waktu," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Menurutnya, perkhidmatan bas dihentikan sementara bermula esok sehingga 20 Oktober depan.
#operasi bas #pemandu bas #positif #kes jangkitan #COVID-19 #pandemik #Sandakan #bas mini #bas henti-henti