ALOR SETAR: Seorang pemandu e-hailing ditahan ketika cuba menyeludup tujuh pendatang tanpa izin (PATI) sewaktu melintasi Plaza Tol Hutan Kampung arah Selatan pada jam 10.40 pagi Isnin.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kegiatan suspek telah dikesan pasukan dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kerana dipercayai lebih dari 18 kali menjadi transporter membawa PATI ke destinasi yang dijanjikan sindiket.

Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan ketika memadu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza selepas menerima upah RM300 dari seorang lelaki bagi satu trip perjalanan untuk di hantar ke Kulim.

“Sebaik pemeriksaan dilakukan menemui tujuh PATI warga Myanmar di sebelah tempat duduk pemandu dan bahagian belakang.

“Hasil siasatan mendapati suspek datang dari Pulau Pinang mengambil kesemua PATI terbabit di sebuah hotel bajet di pekan Changlun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Wan Hassan memaklumkan, tiga lelaki dan empat wanita Myanmar berusia 23 hingga 41 tahun itu dipercayai masuk dari Thailand melalui jalan darat.

Katanya, setiap seorang daripada PATI berkenaan telah membayar RM700 kepada ejen Thailand sebelum memasuki negara ini.

Kesemua mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007/Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.