KOTA KINABALU: Seorang pemandu e-hailing diacu objek tajam pada leher sebelum disamun dua lelaki dalam kejadian di Lorong Burung Keleto, Kampung Likas, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 12.23 tengah malam itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun terpaksa menyerahkan dompet dan telefon pintar miliknya kepada dua penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengambil kedua-dua suspek di tepi Jalan Tanjung Lipat, berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

"Sebaik tiba di lokasi, salah seorang suspek mendakwa mahu mengambil wang di rumahnya manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.

"Secara tiba-tiba, suspek yang berada dalam kenderaan terus meletakkan senjata tajam pada leher mangsa dan mengarahkannya menyerahkan barang berharga kepadanya.

"Berlaku sedikit pergelutan bagaimanapun suspek bertindak agresif sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menyerahkan barangannya kepada penjenayah terbabit sebelum mereka melarikan diri ke arah kebun pisang berdekatan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Zaidi memberitahu, mangsa yang tidak mengalami kecederaan terus meninggalkan tempat kejadian sebelum membuat laporan polis

"Siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.