Beberapa pemandu khidmat pengangkutan berasaskan aplikasi, GrabCar hari ini tampil bagi menyuarakan bantahan terhadap pemotongan pendapatan pemandu yang didakwa membebankan.

Mereka mendakwa menerima pesanan ringkas mengatakan bahawa mereka dikenakan potongan bagi setiap tempahan yang diabai atau 'ignore' serta dibatalkan.

Malah, ada yang mendakwa mengalami potongan sehingga lebih RM1,000 bagi tempahan khidmat pengangkutan.

Menurut seorang pemandu GrabCar sepenuh masa, Mohd Kamarul Faisal Kamarulzaman, 41, keadaan itu sekali gus menyebabkan pemandu terpaksa menanggung bebanan hutang dengan syarikat.



"Kami baru-baru ini menerima pesanan ringkas mengatakan bahawa bagi setiap tempahan khidmat yang dibatal, GrabCar akan menolak RM1. Tetapi ada segelintir daripada pemandu GrabCar ditolak RM1,100 sehingga RM1,600 sebulan daripada pendapatan mereka.

"Kita nak minta penjelasan daripada pihak GrabCar mengapa wujud potongan ini? Memang 'ignore/cancellation' wujud tapi kenapa ada pemotongan yang boleh dikatakan sebagai tidak masuk akal sehingga ada mencapai RM1,600 ke atas?"

“Biasanya dalam sehari kami dapat 50 pelanggan dan biasanya kami paling banyak akan tolak 25 pelanggan sehari. Jadi bagaimana nasib pemandu GrabCar nak menyara kehidupan kami selepas ini jika pendapatan kami dipotong sebanyak itu?" soalnya ketika ditemui pada sidang media berhubung bantahan terhadap isu pemotongan ke atas pemandu GrabCar di sini, hari ini.

BACA: JPJ nafi keluar arahan perbaharui cukai jalan Uber, GrabCar

BACA: Kira-kira 60,000 pemandu Uber, Grabcar direkodkan - Wee


Selain itu, beberapa pemandu juga mengeluh tentang tambang GrabCar yang disifatkan sebagai tidak berpatutan.

Antaranya, kadar yang dikenakan dari Genting Highlands ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hanya RM110.



Sementara itu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memberi masa seminggu kepada GrabCar untuk menyelesaikan perkara tersebut atau berdepan siasatan polis.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa pihaknya telah menerima lebih seribu aduan daripada anggotanya yang turut menjadi pemandu syarikat berkenaan.

"Janganlah mangsakan pemandu-pemandu GrabCar untuk kepentingan syarikat. Kita bagi seminggu untuk GrabCar selesaikan isu ini. Kalau tidak selesai, kita akan buat laporan polis dan kita akan menuntut kerugian," jelasnya.

Dianggarkan kita-kira 370 ahli IKHLAS yang memandu GrabCar.