MANJUNG: Pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan dengan enam motosikal sehingga mengorbankan tiga individu di Kilometer 4, Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, dekat sini, pada Sabtu, telah menyerah diri hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan, lelaki berusia 38 tahun itu yang melarikan diri sebelum ini, menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, kira-kira jam 2.50 petang.

“Permohonan reman akan dibuat esok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang Sabtu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng, masing-masing berumur antara 22 hingga 29 tahun, meninggal dunia.

Kemalangan itu turut menyebabkan enam lagi, termasuk seorang penumpang kereta dipandu lelaki terbabit, yang berumur antara 24 hingga 48 tahun, cedera parah.

BACA: Tiga maut kemalangan pulang kerja, pemandu kereta melarikan diri

BACA: Suami sempat hantar swafoto sebelum maut kemalangan

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati kereta lelaki berkenaan yang membawa dua penumpang menghala ke Kampung Acheh dari Lekir, manakala enam buah motosikal dinaiki pekerja sebuah kilang, dari arah bertentangan, ketika kejadian.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu kereta terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar keenam-enam motosikal yang berada di laluan sah,” katanya.

Katanya, pemandu terbabit melarikan diri selepas kemalangan itu.