KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua lelaki apabila kereta dinaiki mereka merempuh tujuh kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Kuala Ibai di sini pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Axia berusia 30-an itu dipercayai gagal menekan brek dengan baik sehingga merempuh kenderaan berkenaan.

Pemandu dan penumpang Perodua Axia berkenaan disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Chendering menghala ke pusat bandar.

"Selepas turun dari Jambatan Kuala Ibai, difahamkan pemandu kereta berwarna merah itu gagal menekan brek dengan baik.

"Akibatnya, tujuh buah kereta di lokasi berkenaan mengalami kerosakan kecil. Kesemua yang terlibat sudah tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika kejadian, terdapat dua lelaki iaitu pemandu dan seorang penumpang di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.

"Kedua-duanya ditahan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar beliau.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.