KUALA LUMPUR: Polis telah memanggil individu yang memandu kenderaan melawan arus di Bulatan Cheras di sini pada Ahad untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 8.28 malam sebelum tular di TikTok.

Menurutnya, rakaman berdurasi satu minit 28 saat itu menunjukkan satu kemalangan membabitkan dua kenderaan apabila salah satu kenderaan dipandu secara melawan arus.

"Individu yang terbabit dalam kemalangan itu sudah dikesan dan dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee bagi melengkapkan siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.


*Berita asal di Sinar Harian