AYER KEROH: Seorang pemandu lori berdepan hukuman penjara 30 tahun selepas didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 22 tahun, Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Difahamkan mangsa yang juga anak sulung dari tiga beradik itu turut menjadi pemuas nafsu bapa kandungnya sejak berusia 10 tahun lagi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya yang tidak dibenarkan dibawah undang-undang (atau hukum agama atau adat atau kebiasaan) yang terpakai kepadanya untuk berkahwin dengan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan sebuah di taman perumahan, kira-kira jam 2 pagi pada pertengahan Mei 2021 lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan juga sebatan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Anis Wahida Mohamad tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana melibatkan anak kandungnya sendiri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah membenarkan jaminan bagi membolehkannya menguruskan lantikan peguam.

Maziah pada penghakimannya kemudian membenarkan ikat jamin  RM10,000 dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.