SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan dua kematian dalam kejadian nahas yang berlaku di bawah jejambat Kilometer 92.8, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah, 28, yang berasal dari Bachok, Kelantan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua Mahkamah Majistret berasingan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad dan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna, tertuduh didakwa telah memandu sebuah lori dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, di kilometer 92.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), pada jam 2.40 petang, 7 Mac lalu.

Mahkamah | Pemandu lori mengaku tidak bersalah sebabkan dua kematian

Manakala bagi pertuduhan di hadapan Majistret Nadhirah, Muhammad Arif dituduh melakukan kesalahan sama di lokasi yang sama sehingga menyebabkan kematian Mohammad Amirul Ismail, 28.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Nur Hamizah Mat Shah, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Haslina Hasbullah.

Kedua-dua majistret membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM9,000 dan RM8,000 masing-masing  bagi setiap pertuduhan selain menetapkan 28 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Kemalangan | Rempuh 9 motosikal, pemandu lori direman 3 hari