AYER KEROH: Seorang operator kilang yang juga pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) maut dalam nahas di Jalan Serkam Pantai, Jasin semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini terhadap pemuda berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nabihah Mohd Noor.

Reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.50 pagi dan proses permohonan reman selesai sekitar pukul 11.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar ketika dihubungi berkata, semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai enam rekod saman membabitkan kesalahan lalu lintas.

Pihak polis juga ujarnya masih menunggu laporan perubatan ujian alkohol daripada pihak hospital yang dijangkan akan diperolehi dalam tempoh tujuh hari lagi.

Astro AWANI semalam melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menunggang Yamaha Ego meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dari arah Merlimau terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggangi mangsa.