TAPAH: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik, setelah dipercayai merempuh belakang sebuah kenderaan lain berdekatan stesen minyak di Sungai Durian, di sini.

Difahamkan mangsa berumur sekitar 50 tahun itu memandu kereta jenis Proton Saga dan merempuh bahagian belakang kereta Proton Exora.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

"Pihak bomba terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.56 tengah malam, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi.

"Didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan. Kereta Proton Saga itu terbabas dan terbalik. Ada mangsa yang tersepit dan disahkan maut.

"Pemandu kereta Proton Exora pula selamat," katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Foto ihsan JBPM

Katanya, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat jam 1.34 pagi.