Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town pada Khamis atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, tiga tahun lepas.

Teh Kim Huat, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak yang kini berusia 14 tahun di sebuah rumah di Sungai Ara di Bayan Lepas, di sini pada 2015.

Bagi tuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul tidak menawarkan jaminan, namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan jaminan yang rendah dengan alasan dia menanggung dua orang anak.

Wan Azimah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.