SANDAKAN:Operasi bas mini dan bas henti-henti di daerah ini dihentikan sementara bermula Selasa selepas beberapa pemandu didapati positif COVID-19.

Pengerusi Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, berkata seorang pemandu disahkan positif sebelum ini, menyebabkan ujian saringan dibuat di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini.

"Hasil ujian itu, beberapa pemandu didapati positif dan beberapa lagi disyaki positif.

"Atas saranan Jabatan Kesihatan Kawasan Sandakan, operasi bas terpaksa dihentikan buat sementara waktu," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Menurutnya, perkhidmatan bas terbabit dihentikan sementara bermula esok sehingga 20 Oktober depan.