PUCHONG:Pemandu sebuah kereta Toyota Hilux ditahan polis bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan seorang pekerja penghantar makanan pada Rabu. 

Dalam kejadian di Kilometer S1.4 Lebuhraya Damansara Puchong dari arah Puchong ke arah Putra Height itu, mangsa, Wong Lai Yie, 30, maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, siasatan lanjut terhadap beberapa saksi bebas yang berada di lokasi kejadian dan dari sudut lain mendapati, kejadian itu dipercayai melibatkan sebuah kenderaan lain.

"Pemandu kenderaan yang terlibat semasa kejadian ini yang memandu sebuah Toyota Hilux warna putih, telah tampil memberi keterangan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

"Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut Jabatan Kimia dan Puspakom, sementara pemandu Toyota Hilux berkenaan turut ditahan untuk diambil keterangan," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Dalam kejadian pada Rabu, seorang pekerja penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer S1.4 Lebuhraya Damansara-Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis YZF-R15 terpelanting sejauh kira-kira 19 meter selepas disyaki melanggar pembahagi jalan.

"Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan brek motosikal ditunggang mangsa.

"Dia yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.