Pemansuhan subsidi petrol RON95 mulai 1 Disember ini, sepatutnya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya sekaligus, demikian menurut bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Biarpun bersetuju dengan langkah tersebut, namun beliau melihat pengurangan subsidi minyak sepatutnya dilakukan sedikit demi sedikit sehingga dihapuskan sepenuhnya agar tidak membebankan rakyat.

"Saya ingat kalau subsidi sekarang ini berkurangan bukan mana pun sebab harga minyak murah. Apabila harga minyak murah, tidak perlulah banyak subsidi. Jadi kalau kita nak kurangkan subsidi boleh lah tapi buat secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis Konvokesyen Ke-11 Kolej Universiti MAHSA di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, pemansuhan subsidi secara mendadak dibimbangi mampu mempengaruhi keadaan ekonomi.

"Secara umumnya, saya bersetuju dengan pengurangan subsidi. Apapun kita buat secara berperingkat-peringkat. Pengurangan sepatutnya sedikit demi sedikit sehingga dihapuskan sebab dia boleh mempengaruhi keadaan ekonomi."




Pada Jumaat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember.

Mulai tarikh itu juga, tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.