Sebelum ini kita telahpun melaporkan bahawa Toyota sah akan mengeluarkan SUV model baharu C-HR, dan nampaknya Toyota Motor Eropah (TME) telah menetapkan yang kilang pengeluarannya adalah di Sakarya, Turki.

Kilang Toyota Motor Manufacturing, Turkey (TMMT) tersebut buat masa ini mengeluarkan model-model Corolla dan Verso dengan kemampuan pengeluaran berjumlah 150,000 unit kereta setahun. Pengeluaran untuk C-HR dijangka bermula menjelang akhir 2016, dengan pelaburan tambahan 350 juta Euro serta pertambahan jumlah pekerja daripada 3,000 orang sekarang kepada 4,000. Jumlah pelaburan keseluruhan dijangka mencapai 1.7 bilion Euro.

Kapasiti pengeluaran untuk kilang juga boleh ditingkatkan ke 280,000 unit kereta setahun.

Walapupun begitu, enjin hibrid model ini akan dipasang di Wales, UK; sebuah kilang Toyota Motor United Kingdon (TMUK) yang membuat persiapan tugas baharu ini dengan pelaburan £7.1 juta.

SUV/crossover Toyota C-HR yang telah siap dipasang kelak akan dieksport ke serata benua Eropah dan pasaran-pasaran lain.

Rekaan akhir konsep Toyota C-HR – yang menggunakan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) – akan dapat dilihat pada 1 Mac di pameran kereta Geneva.