KUALA LUMPUR:Persidangan Parlimen boleh dilakukan ketika tempoh darurat seperti yang dikehendaki oleh pembangkang namun ia perlu laksanakan bukan bertujuan untuk menukar kerajaan.

Menurut Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, gabungan pembangkang perlu berhati-hati dengan permintaan mereka untuk mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat.

Dr Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, ketika ini Parlimen boleh bersidang tetapi sekiranya terdapat usaha menukar kerajaan, perdana menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

"Sekiranya tindakan-tindakan diteruskan untuk mengugat kestabilan dalam negeri, perdana menteri akan meminta Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen.

"Jika Parlimen terbubar, pilihan raya tidak perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari sebab kita sudah ada ordinan dan dalam tempoh darurat, pilihan raya tidak semestinya dipanggil dalam masa 60 hari.

"Sekiranya Parlimen dibubar ketika dalam tempoh darurat, Seri Paduka Baginda boleh menubuhkan caretaker goverment buat masa ini.

"Tempoh caretaker ini tidak terhad sama ada 60 hari atau 2 tahun kerana kita adalah keadaan darurat dan keperluan untuk mengadakan pilihan raya sudah dibuka dalam ordinan baru-baru ini," katanya kepada Astro AWANI.

Politik | Jangan desak sidang parlimen untuk tukar kerajaan


Beliau juga menjelaskan ketika tempoh darurat tidak ada istilah Parlimen digantung sepertimana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Malah Dr Wan Ahmad Fauzi berpendapat, kerajaan sewajarnya memanggil sidang Parlimen dengan menggunakan kaedah-kaedah yang lebih sesuai ketika ini.

"Parlimen boleh diadakan dalam tempoh darurat, kerana dalam tempoh darurat sidang Parlimen tidak semestinya dalam keadaan yang formal.

"Perlembagaan membenarkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berhimpun untuk mengadakan sidang Parlimen, dan pembentangan itu boleh dijuruskan kepada perkara-perkara penting kerana standing order masih ditentukan oleh kerajaan.

"Jadi kerajaan perlu mengimbangi permintaan dari pembangkang ini," katanya lagi.

Beliau menasihatkan semua ahli politik untuk lebih mengutamakan masalah rakyat buat masa ini berbanding mendesak untuk diadakan pilihanraya atau menukar kerajaan.