Setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan menggunakan pesawat kerajaan, hampir RM500,000 dibelanjakan, dakwa Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke.

Loke berkata, beliau mendapat angka tersebut selepas membuat pengiraan sendiri daripada jawapan bertulis Parlimen dari Jabatan Perdana Menteri yang diterimanya.

“Jawapan bertulis itu menyatakan pada tahun 2012, sebanyak RM182 juta telah dibelanjakan bagi kos bahan api dan kos peyelenggaraan enam pesawat milik kerajaan.

“Sebanyak RM14,951,448.04 telah digunakan untuk kos bahan api pesawat dan sebanyak RM167,079.541.80 telah digunakan untuk kos penyelenggaraan pesawat.

"Jumlah ini dibelanjakan untuk 372 penerbangan dimana hanya 339 penerbangan adalah atas urusan rasmi Kerajaan.

“Sekiranya RM182 juta dibahagikan dengan 372, purata perbelanjaan pesawat bagi satu penerbangan ialah hampir RM500,000,” katanya semasa satu sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata ini merupakan suatu pembaziran dana rakyat.

"Pembaziran ini keterlaluan. Mengapa Perdana Menteri, Timbalannya dan pegawai atasan yang lain perlu menggunakan pesawat eksekutif untuk penerbangan mereka walaupun destinasinya adalah destinasi tempatan?

“Untuk destinasi tempatan, pesawat komersil boleh digunakan dan ini dapat menjimatkan wang yang banyak,” katanya.

Loke juga berkata, kerajaan sering menegur rakyat untuk berjimat cermat dan mengambil langkah untuk memansuhkan subsidi barang keperluan seperti gula, tetapi tidak mempraktikkan sifat berjimat cermat.

“Jelas, kerajaan ‘cakap tak serupa bikin’!” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang turut hadir di sidang media tersebut berkata, Muhyiddin telah menggunakan pesawat eksekutif untuk berkempen di Sungai Limau semasa pilihan raya kecil di kawasan itu baru-baru ini.

“Beliau sepatutnya menggunakan pesawat komersil untuk tujuan ini. Saya berharap, pada tahun 2014, lebih banyak pesawat komersil digunakan untuk penerbangan pegawai atasan kerajaan dan pesawat eksekutif disimpan untuk kegunaan Yang Di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, angka yang diberikan di dalam jawapan bertulis itu adalah pecahan kos bahan api dan kos peyelengaraan pesawat-pesawat kerajaan yang digunakan.

“Itu kos bahan api dan penyelenggaraan untuk semua pesawat. Perbelanjaan RM500,000 itu adalah pengiraan pihak pembangkang sendiri,” katanya.