KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mempunyai kefahaman yang sama dalam usaha untuk pembangunan perbandaran yang lebih unik dan mampan.

Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik usaha untuk pembaharuan bandar atau penjanaan semula bandar boleh dilakukan di negara ini.

Jelas beliau, usaha-usaha tersebut sekiranya dilakukan dengan kefahaman yang sama oleh semua pihak dapat membangunkan bandar-bandar di negara ini setanding bandar di luar negara.

"Saya berpandangan di negara kita, kita masih ada ruang, tapi apa yang kita perlu ialah kebersamaan oleh semua agensi yang terlibat, semua profesional yang terlibat.

"Kefahaman yang sama perlu ada supaya pembangunan perbandaran dibuat dengan lebih holistik. Kebersamaan ini juga akan menyebabkan kita dapat membangunkan satu perbandaran yang lebih unik dan mampan," katanya.

Namun dalam usaha membangunkan bandar, perlu juga ada usaha untuk membawa kembali penduduk ke kawasan yang dibangunkan kembali itu.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Tpr Dr. Alias Rameli berpendapat, usaha itu penting kerana bagi memastikan bandar dapat dikekalkan, ia memerlukan penduduk.

"Benda itu bergerak semulajadi, tetapi satu perkara yang juga perlu diberi perhatian dalam pembangunan dalam negara kita, macam mana nak bring back people to the city.

"Sebab untuk mengekalkan bandar ia memerlukan penduduk sebab bila ada penduduk ia boleh mengerakkan atau menghidupkan bandar contohnya pengangkutan awam.

"Sekiranya kita mahu memastikan pengangkutan awam yang digunakan sentiasa berfungsi dengan baik, ia harus ada permintaan iaitu penduduk perlu ada, harus ada orang nak naik kalau tidak... nanti tak sesuai dalam konteks bandar," katanya.

Selain itu, pendekatan untuk mengekalkan kawasan landskap semulajadi itu perlu diberi keutamaan dalam usaha untuk membangunkan bandar.

Rotina dan Alias berkata demikian dalam satu temubual bersama Agenda AWANI sempena Forum Bandar Dunia (WUF) baru-baru ini.