KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang sebelum ini didakwa terbabit dalam "Geng Nicky", sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan berhubung pengubahan wang haram dan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan yang tidak tepat.

Lim Kang Li, 31, yang merupakan pembantu peribadi kepada ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Lim didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM119,826.72, mengikut Perenggan 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim turut didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak tepat dengan meninggalkan pendapatan berjumlah RM440,250 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM104,018.72 bagi tahun taksiran 2017 dan 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan dikenakan penalti khas sebanyak dua kali ganda daripada amaun cukai yang terkurang bayar, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga dituduh gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sebagaimana diperuntukkan di bawah subseksyen 77(1) akta sama bagi tahun taksiran 2019 tanpa alasan munasabah, mengikut subseksyen 112(1) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Cawangan Duta (Penggajian), Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 4 Mei 2018 hingga 16 Mei 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman, Rohaiza Abd Rahman dan Adip Sabir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Goh Kim Lian dan Datuk Krishnan Kesavan Nair.

Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai serta menetapkan 8 Nov untuk sebutan semula kes.

Pada 9 April lalu, Lim dan 13 individu termasuk empat warga China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan terbabit dalam "Geng Nicky" mengikut Seksyen 130V(1) dan Seksyen 130W Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA