IPOH:Seorang pembantu perubatan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan tempat letak motosikal oleh seorang pengawal keselamatan hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata sebelum kejadian, lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan mempunyai masalah kesihatan dan tidak mahu membebankan keluarganya.

"Lelaki yang berasal dari Chemor itu meninggalkan nota pesanan menyatakan dia tidak mampu lagi mengharungi kehidupan dengan masalah kesihatan yang dialaminya.

"Menerusi nota tersebut, dia yang masih bujang memohon maaf kepada keluarga dan rakan-rakan," katanya di sini, pada Khamis.

A. Asmadi menambah, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa ditemukan dengan beberapa kesan kecederaan parah di kepala dan badan.

"Seorang petugas hospital itu mengesahkan lelaki terbabit adalah rakannya dan menemukan nota ditinggalkan mangsa dalam beg bersama kad kaunseling masalah kesihatan.

"Saksi juga mengesahkan yang mangsa bertugas 24 jam sebelum terbabit dalam kejadian itu yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.