Kementerian Kewangan menyasarkan untuk melunaskan kesemua pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi fasa dua dibuat selewat-lewatnya pada hujung minggu ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun pembayaran bagi fasa kedua itu telah mula dibuat serta melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.63 bilion.

“Daripada kesemua 8.3 juta pemohon yang diluluskan, pembayaran bagi fasa pertama telah selesai sebanyak 96 peratus, manakala bagi fasa kedua yang masih berjalan dan kini di tahap 49 peratus.

“Agihan ini akan melibatkan 800,000 penerima dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

“Pembayaran fasa kedua akan dibuat minggu ini dan bagi mereka yang mempunyai masalah akaun boleh terus ke kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 14 Mei,” katanya ketika pembentangan pakej prihatin pada Selasa.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pihak kementerian telah mengeluarkan pekeliling untuk prosedur perolehan melibatkan projek kerajaan berskala kecil bernilai RM2.4 bilion.

Tambahnya, proses bidaan akan mematuhi penjarakan sosial dimana tiada lagi proses sesi pertemuan bersama kontraktor secara fizikal sebaliknya ia dilakukan secara maya.

Usaha tersebut merupakan langkah kerajaan dalam memastikan aktiviti ekonomi dapat diteruskan terutamanya melibatkan projek berskala kecil yang terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).