KUALA LUMPUR: Tindakan pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sengaja dilakukan bagi memberi persepsi masalah integriti kepada Perikatan Nasional (PN) dan bukannya isu penyelewengan.

Jelas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tindakan itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada PN.

"Ini sengaja dibuat untuk menggambarkan kepada rakyat nak bina satu persepsi PN ada masalah integriti, sasarannya bukan soal penyelewengan, itu insya-Allah tidak berlaku.

"Tapi nak terrorize (rasa takut) PN terutamanya menghadapi PRN nanti. Bagi kita bila dah disiasat SPRM, tidak ada pun sebetulnya, operasi harian parti, politik mesti diteruskan, kewangan mesti digerakkan kalau akaun dibeku menyusahkan parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

Ujar Tuan Ibrahim lagi, ia disifatkan sebagai satu usaha untuk merosakkan nilai integriti yang menjadi asas PN selama ini.

"Strategi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan usaha merendahkan PN dari segi integriti, kestabilan.

"Ini asas kepada sokongan rakyat kepada PN. Mereka akan usaha supaya nilai integriti dirosakkan.

"Saya fikir itu sahaja, tidak ada isu pun sebenarnya," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, Pas terbuka untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi berhubung siasatan terhadap Bersatu ketika ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.