KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan hospital medan di Tawau bagi membantu memerangi pandemik COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam maklum balasnya kepada permintaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan yang diadakan secara dalam talian, pada Isnin.

Sebelum itu, Hajiji memberitahu bahawa hospital medan sebelum ini yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dihentikan operasinya.

Tambah Hajiji, pembukaan semula hospital medan di Tawau sangat diperlukan memandangkan kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau sedang berjalan.

Sementara itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa Sabah telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri susulan beberapa kes bencana alam yang telah menyebabkan kerosakan besar pada infrastruktur di beberapa daerah di negeri itu.

Beliau berkata sebanyak 302 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di negeri ini,manakala, sebanyak 14 agensi yang melibatkan 6,800 anggota telah diaktifkan sebagai persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh.

"Sabah telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berikutan beberapa kes bencana alam yang telah mengakibatkan malapetaka dan menyebabkan kerosakan besar pada infrastruktur serta harta benda di beberapa daerah seperti Beaufort dan Penampang selain kawasan lain di seluruh Sabah.

"Dianggarkan bahawa RM147 juta diperlukan untuk memperbaiki kerosakan," katanya lagi.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan beberapa anggota Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.