KUALA LUMPUR: Pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) bernilai RM284 juta yang terletak di kawasan perindustrian Enstek, Negeri Sembilan, mengambil masa tiga tahun sembilan bulan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata NCDC yang antaranya bertujuan mengintegrasi dan memperkukuh aktiviti kawalan serta pencegahan penyakit di negara ini, dijangka siap pada penghujung 2025.

"Projek secara reka dan bina ini melibatkan pembinaan Pusat Eksekutif, Pusat Tindakan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan (DOCE), Makmal Rujukan Kesihatan Awam (PHRL) dan Jabatan Sokongan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Surat Setuju Terima Tender (SST) di kementeriannya, di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hadir menerima SST bagi projek NCDC itu.

Khairy kemudian menyerahkan SST berkenaan kepada wakil syarikat Nepturis Sdn Bhd dan Permata Rebana Sdn Bhd JV, iaitu syarikat kontraktor yang akan membina kemudahan itu.



FADILLAH-NCDC 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Khairy dalam ucapannya berkata NCDC bukan sekadar pusat rujukan penyakit tetapi juga sebagai kemudahan mempersiapkan negara dalam menghadapi pandemik pada masa akan datang.

"Setelah kita dilanda COVID-19, usaha menyediakan negara bagi penyakit akan datang sangat perlu," katanya.

Sementara itu, empat lagi SST yang diserahkan kepada kontraktor hari ini ialah projek menaik taraf Jalan Muar - Tangkak - Segamat di Johor; projek membina jalan penghubung antara Kampung Guntur ke Langkap, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; projek pembinaan tapak simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti, Selangor; dan projek pembinaan sekolah baharu 24 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Nangka, Marang, Terengganu.

-- BERNAMA