LANGKAWI: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan langkah kerajaan untuk mewajibkan pengunjung yang akan ke Pulau Langkawi menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebagai satu keputusan yang tepat.

Menurutnya, ianya juga dapat menghalang pelancong yang positif COVID-19 daripada 'terlepas' masuk ke Langkawi yang mana akan memberi kesan besar kepada inisiatif gelembung pelancongan yang bermula semalam (Khamis).

"(Pelaksanaan) swab test itu sangat memberi kesan (yang baik) dan manfaat (kepada inisiatif gelembung pelancongan). (Arahan mewajibkan) swab test sebelum datang (sangat tepat).

"(Oleh) itu saya rasa itu membuktikan bahawa ada keperluan untuk swab test sebab (sudah) ada kes positif kategori 1 dan kategori 2 yang (dikesan sebelum masuk dimana mereka) tidak ada gejala.

"Apabila swab test dia positif, itu agak malang untuk mereka, (bagaimanapun) saya harap swab test (ini) diteruskan kerana ia memberi faedah," katanya ketika ditemui media semasa melakukan tinjauan di Pantai Cenang, Langkawi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Sanusi turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat melancong ke Pulau Langkawi untuk menjani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen lebih awal sebelum tiba di pintu masuk udara dan darat.

Katanya, ia bagi mengelakkan tidak berlaku kesesakan di kawasan Terminal Feri dan Balai Pelepasan selain menjejaskan jadual perjalanan asal pelancong.

"Yang pertama sekali kena ada surat untuk buat swab test, ada saksi daripada Jabatan Kesihatan (dan) ada sijil, kalau tak dapat (perincian itu) terpaksa (pelancong) buat (ujian) di situ dan dia makan masa (yang lama selain) menggangu perjalanan, mungkin terlepas feri," katanya.

BACA: Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan COVID-19, kata Khairy Jamaluddin

Pada Khamis, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa lima daripada 2,546 individu yang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Langkawi dikesan positif COVID-19 sehingga jam 12 tengah semalam.

BACA: Projek Rintis Langkawi: Lima dikesan positif COVID-19, diarah kuarantin di rumah

Menurutnya, mereka yang positif merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.