KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin menafikan kerajaan tidak mengambil serius dalam soal pengurusan pembukaan sekolah, sebaliknya situasi jangkitan COVID-19 yang dinamik memaksa banyak perubahan dilakukan dari semasa ke semasa.

Tegas beliau, kerajaan sangat teliti dalam aspek penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah bagi memastikan risiko jangkitan dapat diminimumkan sekali gus membentuk tatacara baharu pengajaran dan pembelajaran di sekolah ketika negara memasuki fasa endemik.

"Sistem penggiliran merupakan pendekatan untuk memastikan situasi mudah dikawal. Kita juga minta sekolah tambah baik sistem pengudaraan kerana varian Delta ini sangat mudah merebak di tempat tertutup.

"Bagi kelas yang mempunyai pendingin hawa, waktu rehat pelajar kena keluar dari kelas sebab masa makan, kena buka pelitup muka. Pelitup muka kita wajibkan kali ini, berbeza sebelum ini.

"Sekolah juga dibekalkan dengan sejumlah kit ujian air liur sebagai persiapan jika adanya keperluan membuat ujian.

"Contohnya, pelajar bergejala memang tidak dibenarkan datang tetapi kadang-kadang, pelajar itu nampak sihat di sebelah pagi tetapi masuk tengah hari, dia mula tidak sihat.

"Jadi, guru boleh terus bantu dia untuk jalankan ujian," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, malam tadi.

Bagi sekolah berasrama penuh pula, SOP yang lebih ketat akan dilaksanakan dalam usaha meletakkan pelajar dalam gelembung yang selamat.

"Pelajar asrama penuh perlu menjalani ujian air liur sebanyak tiga kali, iaitu pada hari pendaftaran, hari keenam dan hari ke-14. Ini menunjukkan kita sangat teliti dalam memastikan gelembung selamat untuk para pelajar.

"Malah guru atau petugas di sekolah berasrama penuh juga diwajibkan ambil vaksin, yang mana enggan kita akan bawa keluar," tambahnya.

Sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka secara berperingkat bermula 3 Oktober ini menggunakan kaedah penggiliran secara mingguan, dengan kapasiti sebanyak 50 peratus mengikut jumlah keseluruhan kelas.