KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) yakin pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat mengikut fasa dapat memberikan sinar buat penggiat industri berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukry memaklumkan, pemilihan Pulau Langkawi sebagai projek rintis merupakan berita gembira bukan sahaja kepada MOTAC, malah penggiat industri yang lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restoran di pulau tersebut

"Pulau Langkawi dipilih sebagai projek ‘testing ground’ untuk menyemarakkan kembali industri yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 memandangkan pulau itu terasing (isolated).

"Faktor itu juga akan memudahkan urusan pemantauan," katanya dalam kenyataan di laman Facebook malam ini.

Beliau berkata, Pulau Langkawi mempunyai kekuatan tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai segmen pelancong.

"Sekiranya projek rintis Langkawi ini berjalan dengan jayanya, saya percaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana 'seeing is believing'," katanya lagi.

Dalam kenyataan media hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.