JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan Malaysia - Singapura, membawa limpahan ekonomi buat negeri di selatan tanah air itu apabila ribuan warganegara jiran berkunjung untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, petanda limpahan ekonomi itu dapat dilihat  melalui kemasukan warga Singapura sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya di bandaraya ini.

Kerajaan negeri, kata beliau, mengalu-alukan kehadiran masyarakat dari negara jiran untuk berbelanja di Johor kerana para peniaga pernah terkesan sebelum ini akibat penularan pandemik COVID-19.

"Saya tengok memang kesan cukup positif kalau kita tengok bandar Johor Bahru (JB) punya kesesakan sebenarnya adalah tanda positif positif kepada ekonomi.

“Kita sebenarnya mengalu-alukan sebab ramai peniaga di Johor yang sebelum ini terkesan hari ini akhirnya mendapat rezeki yang mana masanya dekat hari raya. Jadi ramai orang Singapura datang ke JB untuk membeli-belah,” kata Onn Hafiz.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Semarak Syawal FAMA 2022 di Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menyifatkan, kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang Singapura turut memberi manfaat kepada peniaga negeri ini yang telah terkesan sejak dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berharap, kejatuhan nilai ringgit ini hanyalah bersifat sementara.

Sempadan antarabangsa Malaysia kembali dibuka pada 1 April lalu selepas kerajaan mengumumkan negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik selepas ditutup sejak 18 Mac 2020.