Salah seorang suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam dipercayai mengalami kesan sampingan daripada bahan kimia 'Agen Saraf VX' yang digunakan untuk membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan suspek menunjukkan simptom muntah-muntah.

"Salah seorang suspek saya tidak akan dedahkan siapa tetapi dia menunjukkan kesan sampingan iaitu muntah-muntah," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Khalid memberitahu polis akan mendapatkan khidmat pakar tenaga atom untuk memeriksa sama ada tinggalan bahan kimia 'Agen Saraf VX' masih berada di dalam ruang udara Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Kami akan mendapatkan pakar daripada Tenaga Atom untuk pergi ke lokasi dan melakukan pemeriksaan rapi di semua kawasan untuk memastikan sama ada masih ada tinggalan agen VX di sana," katanya.

BACA: Pembunuhan Kim Jong Nam: 'Agen Saraf VX' dikenal pasti - Khalid

BACA: Pembunuhan Kim Jong Nam: Polis siasat bagaimana senjata kimia dibawa masuk

Namun ketika ditanya sama ada orang ramai perlu mengelak daripada mengunjungi atau menggunakan klia2, jawab beliau tidak.

Dikategorikan senjata kimia dalam Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia 1997, agen saraf VX ialah bahan kimia yang sangat toksik dan berbahaya serta boleh mengakibatkan kematian sekiranya didedahkan kepada dos yang tinggi.