KUALA LUMPUR: Sesetengah pelajar sekolah menganggap pemeriksaan haid di sekolah adalah perkara 'tradisi' yang telah dilaksanakan sejak sekian lama.

Bahkan, menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, ada di antara mereka (pelajar-pelajar) tidak tahu bahawa pemeriksaan sebegitu tidak patut dilaksanakan.

Demikian antara penjelasan daripada pelajar ketika Kementerian Pendidikan (KPM) turun padang dan menyiasat perkara berkenaan, dedah Mohd Radzi.

“Ini adalah penjelasan ikhlas daripada anak-anak tersebut. Tindakan terhadap guru jika terlibat pula, kita sedang meneruskan penyiasatan. Sekiranya ada bukti bahawa ada guru terlibat, maka tindakan bersesuaian akan diambil.

BACA: Dakwaan pemeriksaan haid fizikal di sekolah di Setapak, Radzi turun padang 'siasat'

“Apa yang paling penting, perkara ini dah dibangkitkan beberapa bulan lepas. Masa saya tanya media, nyatakan sekolah mana tapi pada waktu itu, apa yang diberikan kepada kami adalah kes-kes yang berlaku pada beberapa tahun lepas.

“Saya balik ke KPM dan bincang kalau kes ini sudah lama berlaku, penyiasatan ini akan menjadi sukar,” katanya.

BACA: Pemeriksaan datang bulan: 'Beritahu saya sekolah mana' - Radzi Jidin

Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Bajet 2022 (Peringkat Dasar) Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohd Radzi pada Jun lepas berkata KPM dalam fasa terakhir menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menangani aduan seperti isu pemeriksaan haid di sekolah yang dibangkitkan sebelum ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu bukan sahaja meneliti kes tersebut malah aduan seumpamanya pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula berkata kementeriannya akan menyiasat dan memantau sekolah yang didakwa melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan semasa bulan Ramadan.

Tegasnya, beliau memandang serius perkara itu dan ia tidak sewajarnya berlaku, justeru siasatan akan dijalankan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.