KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memastikan empat aspek utama dalam memperkasa pembangunan lestari luar bandar yang lebih inklusif untuk diterap dan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa dan wilayah.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat aspek tersebut antara lain meliputi peningkatan tadbir urus atau tata kelola yang baik lagi efisien di peringkat kawasan setempat, daerah, dan wilayah dengan menghubungkan sektor swasta, masyarakat sivil dan agensi kerajaan yang strategik.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, aspek lain ialah pembangunan sektor produktif yang merujuk kepada bidang pertanian, industri bukan pertanian, perlombongan, pelancongan, sumber alam semula jadi, pengurusan alam sekitar dan sebagainya.

"Pembangunan institusi dan keupayaan beberapa bidang tujahan termasuk bidang pendidikan, latihan, kesihatan, penyelidikan lanjutan, pemasaran, simpanan dan kredit, pengangkutan, alam sekitar dan sebagainya.

"Pembangunan infrastruktur desa termasuk jalan-jalan raya, elektrik, telekomunikasi, perumahan, air, kesihatan awam dan sebagainya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.


Ahmad Zahid berkata, kesemua naratif, definisi, preskripsi, deskripsi mengenai ciri pembangunan desa dan wilayah perlu dihalusi kerana ini akan mempengaruhi wacana dan naratif masyarakat desa.

Beliau berkata, penegasan ini penting untuk menyerlahkan kualiti inklusif yang merupakan bahagian daripada entiti masyarakat yang lebih besar yang perlu diberikan keutamaan berterusan oleh agensi, kementerian dan masyarakat.

"Hal ini juga untuk memastikan imperatif konsep desa yang pernah saya kemukakan sebelum ini bergerak sejajar dengan misi dan visi kementerian. Adalah tanggungjawab kepada kita semua bagi memastikan kelestarian pembangunan desa dan wilayah," katanya. - BERNAMA