KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac memecah tradisi apabila memenangi jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR 2022 selepas pemilihan semula diadakan pada Rabu berikutan kes salah laku pengundian di cabang tersebut pada 21 Mei lalu.

Berdasarkan keputusan di laman web Pemilihan PKR 2022, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, berjaya memperolehi 748 undi.

Beliau menewaskan seorang lagi selebriti, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, dengan perbezaan dua undi apabila menyaksikan penyanyi rap itu meraih 746 undi.

BACA: Pemilihan PKR 2022: Iltizam Hans Isaac, Altimet sertai politik

Tiga lagi pesaing iaitu Abdullah Md Zain hanya memperolehi 101 undi; Sam Hoo Wai (70) dan Abdul Latif Shaari meraih 10 undi, manakala Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri dalam pemilihan semula peringkat cabang tersebut.

Foto: Laman web Pemilihan PKR 2022

Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok menewaskan Hans dan Altimet dalam persaingan merebut jawatan Ketua Cabang .

Beliau menerima jumlah undian tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing mendapat dengan 609 undi dan 589 undi.

Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan "membeli undi".

Dalam perkembangan sama, Hans menerusi hantaran di IG Story malam tadi turut memuat naik kenyataan mengesahkan kemenangannya sebagai Ketua Cabang Ampang yang baharu.

"Dengan berbesar hati mengumumkan secara rasminya ia rasmi. #KetuaCabangAmpang," tulisnya dalam entri tersebut.

Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin. 

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan berakhir pada 22 Mei lalu.