PORT DICKSON: Semua calon yang bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 kali ini, diminta menerima keputusan pemilihan yang akan diumumkan esok dengan hati terbuka.

Presiden PKR yang juga ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu, bagi membina semula kekuatan parti berkenaan.

"Ya, akan umum esok, semua dah ada keputusan, kita (PKR) nak rangkul kembali kekuatan bersama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Raya Mat Moto 1.0 di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata keputusan pemilihan PKR peringkat kebangsaan dan cabang akan diumumkan pada esok (29 Mei), selepas ia ditangguhkan berikutan pemilihan semula di beberapa cabang sebelum ini.

Dalam pada itu Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sekali lagi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Beliau berkata pihaknya ketika ini masih menunggu keputusan Ismail Sabri, bagi menetapkan tarikh sidang khas berkenaan sebelum ia dibahaskan di Parlimen.

-- BERNAMA