KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai komputer warga Bangladesh berumur 30 tahun ditahan kerana disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada Rabu lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya turut menahan isteri suspek yang merupakan warga Indonesia berumur 44 tahun selepas disyaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan itu merupakan antara siri 'Op ID Hack' bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan tersebut yang masih beroperasi selain memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu sindiket itu.

"(Suspek) merupakan pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

"Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, lelaki itu mampu menyewa sebuah kedai dan meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan tersebut," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Khairul Dzaimee berkata pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai sebanyak RM162,077 di kediaman yang dihuni oleh lelaki itu dan isterinya.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959/63 dan direman di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 51(5) (b)," katanya.

-- BERNAMA